Laman Utama arrow Artikel arrow FASA-FASA KEHADIRAN PANTUN DALAM KEHIDUPAN SAYA
FASA-FASA KEHADIRAN PANTUN DALAM KEHIDUPAN SAYA Print E-mail
User Rating: / 3
PoorBest 
Written by Saiee Driss (Pak Asdy)   
Saturday, 29 December 2007

 

 

Saya membesar dalam suasana amalan berpantun menjadi kaedah komunikasi secara meluas.  Seingat saya, sejak memahami hubungan antara manusia dengan manusia saya biasa mendengar pantun dalam nyanyian indung anak, pantun untuk memberi nasihat, pantun untuk menyampaikan sesuatu mesej yang sensitif, atau untuk menyindir dan menempelak, malah sebagai prelude menenangkan orang apabila disampaikan sesuatu perkhabaran yang boleh mengusik perasaan dan sebagainya dalam majlis.

Saya yakin ibu saya telah menyanyikan pantun-pantun semasa mendodoi saya supaya tidur ketika saya masih bayi lagi, kerana itulah yang sering dilakukannya, sehingga kalau hendak mendengar ibu menyanyi tunggulah semasa dia mendodoi adik-adik saya, terutama yang menangis kalau hendak tidur. Anehnya mereka cepat diam dan tidur apabila didodoikan.

Selain itu sejak kecil juga saya telah dibawa menonton majlis gendang atau bermukun di sekitar kampung kerana majlis bergendang atau bermukun sering diadakan di kampung-kampung di pesisiran Sarawak tidak terkecuali kampung saya, Kampung Serdeng dalam Daerah Meradong, ketika itu.

Satu lagi unsur yang mendekatkan saya dengan pantun ialah lirik-lirik lagu tahun 50 hingga 60-an yang kebanyakanya dalam bentuk pantun, terutama lagu asli irama yang amat saya gemari. Akan bertambah hebat kesan makna lirik yang berbentuk pantun apabila bersalut irama yang amat menyenangkan apa lagi kalau suara penyanyinya memang merdu.

Saya akan menghafal dan kemudiannya melafazkan sesuatu lirik lagu yang amat saya senangi dan cuba-cuba menyanyikannya apabila bersendirian, dengan membayangkan yang saya mampu menyanyi dengan baik. Ada sejenis keseronoklan yang tidak dapat diperjelaskan.

Dalam penciptaan pantun saya mengenali pantun bertulis  mulanya dengan menulis semula lirik lagu-lagu dan pantun-pantun yang saya dengar di sekitar saya. Dari situ saya beroleh pengertian tentang pola a/b/a/b serta konsep pembayang maksud dan maksud pantun sekali pun pengertian konsep itu samar-samar dan tanpa istilah.

Saya ‘terpaksa’ menghasilkan pantun sendiri apabila saya dikatakan sudah boleh menulis.  Waktu itu saya baru berada dalam darjah empat. Ibu bapa saya yang berbangga dengan anaknya sudah bersekolah mahu memberitahu sanak saudara yang tinggal jauh terutama di Daro yang anak mereka sudah pandai menulis dengan menyuruh saya menulis surat untuk dikirim melalui sesiapa yang kebetulan berpergian ke sana.

Ketika itu kebolehan menulis dan mengirim surat kepada sanak saudara yang tinggal jauh merupakan satu kebanggaan, dan salah satu cara menghebahkan secara tidak langsung satu pencapaian keluarga yang memang tidak ada peluang dan ruang lain kerana hidup dibendung kemiskinan dan kedaifan.

Menjadi semacam trend orang kampung yang pandai menulis dan mengirim surat kepada sanak saudara menghiaskan surat itu dengan serangkap dua pantun. Maka ibu saya ghairah hendak mengikut trend itu dan mengarah saya supaya menghiaskan surat saya itu dengan pantun. Dia amat yakin anaknya sudah pandai menulis surat dan boleh dibanggakan.

Saya tidak pasti apakah yang saya tulis itu boleh dibaca dan difahami atau tidak oleh penerimanya. Saya juga tidak ingat apa yang saya tuliskan tetapi saya ingat yang maksud dalam pantun itu diungkap seimbas lalu dalam bahasa Melayu Sarawak oleh ibu saya dan saya menggubah maksud pantun itu ke dalam bahasa baku dan kemudian terkial-kial  sendirian mencari pembayangnya daripada persekitaran.

Bila surat-surat demikian sudah siap ditulis  maka saya disuruh membaca kembali dan bila habis isinya dibaca terutama bab pantunnya maka ibu tersenyum riang. Kalau ada sanak saudara atau jiran tetangga dan tetamu datang diceritakanlah yang saya sudah pandai menulis surat dan surat saya berhias pantun. Saya terkebil-kebil, tidak faham macam mana memberi reaksi.

Bila sudah menjadi anak teruna atau bujang kera pantun sudah menjadi sesuatu yang cukup bereti bagi saya dan meningkatkan self esteem saya malah membolehkan saya merasa istimewa sedikit. Apa tidaknya, saya berkebolehan berpantun sehingga saya cukup disenangi di majlis bermukun kerana saya boleh bertandak atau menari dan berbalas pantun. Walaupun peluang ke majlis bermukun amat jarang dinikmati kerana tinggal di asrama sepanjang bersekolah menengah, tetapi setiap ada peluang saya tidak melepaskan. Agaknya rasa macam herolah ketika itu.

Apabila sudah bekerja dan kebetulan dalam bidang komunikasi memanglah kemampuan berpantun dan mencipta pantun di samping boleh mencipta puisi dan menulis skrip merupakan aset utama saya menampilkan diri di dalam masyarakat dalam kerjaya saya dan dalam bidang sosial saya.

Rasanya kewujudan Pantunonlie.com adalah satu lagi fasa kewujudan pantun dan peranan pantun di dalam kehidupan saya, iaitu menjadikan pantun itu media komunikasi di pentas dunia. ##

Kuala Lumpur
29 Disember 2007

 
< Prev   Next >

Pengguna di talian

We have 23 guests online

Statistik Pelawat

Visitors: 584983