Laman Utama arrow Artikel arrow BERMUKUN ATAU MAJLIS BERGENDANG SARAWAK
BERMUKUN ATAU MAJLIS BERGENDANG SARAWAK Print E-mail
User Rating: / 4
PoorBest 
Written by Saiee Driss (Pak Asdy)   
Saturday, 29 December 2007

 

 

Majlis bermukun biasanya diadakan apabila ada sesuatu acara atau upacara yang dianggap menggembirakan seperti kunjungan pembesar atau majlis-majlis berkhatan, bertunang dan perkahwinan. Kalau keluarga yang empunya majlis kurang mampu anak-anak muda kampung memungut wang dari kalangan mereka untuk mengupah sih gendang dan membeli minyak tanah untuk lampu angin atau lampu pam yang akan menerangi majlis bergendang yang diadakan.

Dengan tiada hiburan lain pada akhir tahun 50-an dan awal tahun 60-an kecuali radio yang terhad kualiti siaran dan waktu siarannya dan wayang gambar yang datang ke kampung hanya sekali-sekala, maka majlis bermukun atau bergendang menjadi sumber hiburan untuk semua. Yang tua melayan nostalgia, yang muda berebut-rebut peluang menjadi pelaku utama dengan gurau senda dan usik canda mencari jodoh. Kanak-kanaknya belajar atau memerhati dengan penuh teka teki, tapi patuh dan tekun di dalam majlis sedemikian. Itulah proses pembudayaan yang saya alami dalam konteks pantun.

Dalam majlis bermukun seorang wanita yang pandai berpantun dan menyanyi sambil memukul gendang dengan irama tertentu menjadi selebriti kecil yang digelar sih gendang. Sih gendang yang berbakat bergendang dengan suara lunak dan bijak berbalas pantun mengikut irama lagu-lagunya yang khusus akan berpeluang dijemput dari kampung ke kampung mempersembahkan bakat bergendangnya.

Dalam sesuatu majlis sih gendang dibantu oleh seorang lagi mak gendang atau pemukul gendang yang bersamanya duduk dalam tirai disekelilingi wanita-wanita muda lain dan wanita-wanita berusia bersandar atau makan sirih di tepi dinding, dengan penari-penari lelaki berpasangan sama sendiri menari di luar tirai yang direntang di tengah-tengah ruang tamu rumah tempat diadakan majlis. Majlisnya bermula sekitar pukul 9 atau 10 malam sehingga subuh.

Sih gendang sedemikian sering mengadakan ‘konsert mininya’ semalam, dua malam atau tiga di sesuatu tempat dan bergerak dari kampung ke kampung dan beroleh upah antara 30 hingga 50 ringgit untuk persembahan semalaman.

Kebanyakan sih gendang itu buta huruf tetapi punya kemahiran berpantun dan mencipta pantun aslinya secara spontan sambil memukul gendang dan menyanyi. Pantang ada pantun daripada penari lelaki yang bertandak di depan tabir, habis sahaja pantun itu dia sudah ada jawapan atau penimbalnya sehingga kadangkala penandak atau pemantun lelaki kalah oleh sindiran dan usikan sih gendang.

Pak Asdy,
Kuala Lumpur
30 Disember 2007

 
< Prev   Next >

Pengguna di talian

We have 25 guests online

Statistik Pelawat

Visitors: 584043